Tuesday, August 28, 2012

28/8: PENGASAS ROLLS-ROYCE; ROLLS DILAHIRKAN DIENGLAND

28-08-1877
Pengasas bersama Henry Royce yang mengasaskan syarikat kereta mewah Rolls-Royce Ltd, iaitu Charles Stewart Rolls dilahirkan pada 28 Ogos, 1877, di daerah Mayfair, London.

Rolls merupakan anak ketiga Lord dan Lady Llangattock,  mendapat pendidikan di Eton dan Cambridge University's Trinity College di mana beliau mula berjinak-jinak dalam sukan permotoran.

Kereta pertama beliau  ialah  Peugeot dengan 3,75 kuasa kuda, adalah kereta pertama yang dapat dilihat di Cambridge.

Rakan perniagaan beliau, Frederick Henry Royce, asalnya adalah seorang jurutera elektrik yang mempunyai perniagaan kejuruteraan sendiri, Royce Ltd, dan Royce telah membina beberapa kereta eksperimen berdasarkan reka bentuk sendiri.

Pada tahun 1906 mereka bergabung dan berkerjasama menubuhkan satu syarikat iaitu Rolls-Royce Ltd.  Rolls-Royce Silver Ghost merupakan kenderaan  yang terkenal telah dibina pada tahun tersebut.
Royce adalah yang bertanggungjawab dalam mereka bentuk kereta, Rolls pula menyediakan sebahagian besar pembiayaan, serta pemasaran.

Selain itu, Rolls berminat pula dalam aktiviti penerbangan. Beliau dikatakan meletak jawatan di Rolls Royce dan menceburi diri karier baru dalam penerbangan. 
Pada Jun 1910 Rolls menjadi pilot pertama untuk terbang pergi balik tanpa henti merentasi Selat Inggeris. Bagaimanapun pada 12 Julai, 1910, Rolls terbunuh apabila ekor pesawatnya patah semasa pertunjukan udara di Bournemouth, England. Ketika itu beliau berusia 32 tahun.

No comments:

Post a Comment