Sunday, November 18, 2012

18/11: Pertama kali menteri bersidang selepas merdeka

8.11.1959, buat pertama kalinya Jemaah Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah bersidang selepas negara mencapai kemerdekaan. Persidangan pertama kalinya ini telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tengku Abdul Rahman Putra.

18/11: Selangor naungan Inggeris

18-11-1874, Kerajaan Inggeris di negeri-negeri Selat telah mengumumkan Negeri Selangor diletakkan di bawah naungan kerajaan Inggeris. Peluang Inggeris untuk campur tangan di Selangor ini bermula apabila membantu Sultan Selangor (Sultan Abdul Samad) dan Tengku Kudin untuk menghadapi kumpulan Raja Mahadi.

Gabenor Inggeris di Singapura, Andrew Clarke rnengambil kesempatan menghantar Frank Swettenham sebagai penasihat kepada Sultan Abdul Samad untuk mengamankan Selangor.

Faktor lain yang mendorong campur tangan Inggeris ialah peristiwa serangan ke atas rumah api di Tanjung Tuan yang telah didirikan oleh Kerajaan Inggeris yang membabitkan putera kepada Sultan Abdul Samad. Sultan tiada pilihan terpaksa menyerah Selangor memandangkan Inggeris menuntut hukuman kepada mereka yang terlibat.

Di atas desakan Frank Swettenham,  akhirnya Sultan Abdul Samad terpaksa mengutus surat kepada Andrew Clarke supaya Selangor dimasukkan ke bawah naungan Inggeris.


18/11: Tengku Kudin tawan Petaling

Perang Klang meletus pada 1867 ekoran tuntutan Raja Mahadi ke atas kutipan cukai dan jawatan Orang Besar Kelang di daerah Klang yang dikuasai oleh Raja Abdullah. Raja Mahadi adalah putera Sultan Sulaiman yang pernah memerintah Klang. Perang Saudara di Selangor berpanjangan dari tahun 1867 hingga 1873. 
Askar Raja Mahadi berada diatas bukit berhampiran sungai Klang, manakala bangunan dibawah itu ialah gedung Raja Abdullah.


Perselisihan ini disebabkan isu kutipan cukai dan perebutan jawatan Orang Besar Kelang. Raja Mahadi telah berjaya menewaskan Raja Abdullah dan sekaligus menguasai daerah-daerah yang dikuasai oleh Raja Abdullah sebelumnya iaitu Kuala Lumpur, Ampang, Petaling dan Kanching.
Sultan Abdul Samad
Sultan Abdul Samad, yang memerintah Selangor cuba mengekang penguasaan Raja Mahadi, lalu  melantik menantu baginda, Tengku Dhiaudin ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Halim Shah atau Tengku Kudin untuk menyelesaikannya. Tengku Kudin telah menggunakan kuasanya untuk melemahkan kedudukan Raja Mahadi di kawasan-kawasan yang dikuasainya.


Peperangan itu kemudiannya bertukar kepada pententangan diantara 2 pemimpin tersebut iaitu, Raja Mahadi dan Tengku Kudin. Tengku Kudin ini mendapat sokongan dari Inggeris dan orang cina di bawah pimpinan Kapitan Yap Ah Loy serta bantuan dari Pahang. Inggeris mula mengambil kesempatan dari hubungan baiknya dengan Tengku Kudin untuk mencampuri urusan di Selangor.
Tengku Kudin
Pada 18-11-1872, Petaling yang merupakan salah satu kubu terakhir Raja Mahadi telah jatuh ke tangan Tengku Kudin. Tok Engku Kelang dan Raja Berkat,Tengku Panglima Raja dari kem Raja Mahadi telah ditawan.  Kekalahan ini, menyebabkan Raja Mahadi dan pengikutnya  terpaksa lari untuk mendapatkan perlindungan di Perak dan Sungai Ujong.
Bekas tapak Kota Raja Mahadi di atas bukit berhampiran dengan Majlis Perbandaran Klang sekarang.
Kejayaan Tengku Kudin di Kuala Selangor ini merupakan peristiwa penting yang menjadi titik-tolak membawa kepada campurtangan Inggeris di Negeri Selangor.

Tuesday, September 11, 2012

11/9: Diego Lopez De Sequira tiba di Melaka

11-09-1509 



Diego Lopez De Sequira telah tiba di pelabuhan Melaka dengan rombongan kapalnya. Ini merupakan pertama kali dalam seiarah Melaka orang bangsa Eropah tiba di kota itu. Kedua-dua pihak Portugis dan Melaka bersetuju membenarkan membina rumah-rumah untuk Raja Portugal di Melaka, membina gudang dan memberi jaminan keselamatan ke atas barang-barang mereka. 

Bagaimanapun ketibaan rombongan Portugis yang diketuai oleh Lopez De Sequira ini amat dicurigai oleh pedagang-pedagang Islam Arab dan India. Mereka telah berpengalaman dengan sikap orang-orang Portugis ini di Timur Jauh dan di India yang sentiasa mengancam perdagangan mereka.